rahsia-17


Rahsia Tengkok Baju

 

Akal Melayu tersangat panjang
Mengambil ibarat tidaklah sumbang
Isyarat dijadikan sebagai ukuran
Semoga mudah dalam kelahiran
Itulah petua orang tua bistari
Memohon hajat pada Ya Rabbi
Segala urusan menjadi mudah
Agar tidak ada yang tergadah
Wahai kau si cahaya mata
Selamat terbit ke alam nan nyata
Permudahkan segala perjalanan
Semudah dek yang ditetapkan
Ayah Ibu ambil secebis buat syarat
Direndam sebagai penanda hasrat
Disulam doa dan permohonan
Semoga Allah beri perkenan


[ Hamidon Abdul Jabbar ]

 


rahsia-16


Rahsia Ukur Sejengkal

 

Adakala diukur pada bilah
Adakala diukur pada rumah
Adakala diukur pada tubuh
Tahu rahsia lemahkan musuh
Petua alam mainan Melayu
Hanya bertujuan untuk menyatu
Segala kejadian dari Allah
Supaya menang tidak kalah
Berbuat baik berpada-pada
Berbuat jahat usah ditempa
Asal diukur setiap perkara
Sebelum atur langkah menerpa
Mengukur jengkal dijadikan acu
Ibarat Allah jadikan satu persatu
Ukur sejengkal ukur si hulubalang
Menjadikan kita bangsa terbilang
Semoga beradu sentiasa menang
Allah di hati tetap berpegang
 

[ Ishak bin Itam ]

rahsia-15

Rahsia Nasi Lompat 


Janganlah gusar usahlah bimbang
Anak sikecil tak rabung bersembang
Ada kala kurang fasih atau petah
Mengeluar kata-kata terasa payah
Petua orang melayu ada panduan
Dibuat usaha sekadar amalan
Tanda tak putus asa mencuba
InsyaAllah diizinkan Allah jua
Perkara mudah barangnya ada
Dalam periuk barangnya punya
Ambil sedikit sekadar syarat
mengambil erti mengikut hajat
diiringi selawat memohon syafaat
terlintas harapan berbekal berkat
semoga bicara anak menjadi serpurna
mengambil petua guru yang empunya

 

[ Ishak bin Itam ]

rahsia-14


Rahsia Bisik Semak

ini dikatakan di atas sekali
datang dari kehendak illahi
bukan ramalan bukan renungan
datang alamat tanpa andaian
khabar sampai sebelum berlaku
nampak jelas sebelum bertemu
jangan dilepas hajat di hati
akan terlaksana ia nanti
perkara ini bukan direka-reka
ia tiba secara tiba-tiba
bukan amalan bukan zikir
terpancar ia tanpa berfikir
pakaian peminpin dan panglima
setelah mendapat keputusannya
pakaian bukan untuk bermegah
sekadar melaksanakan amanah
bila bicara biar ada bukti
risau jatuh fitnah nanti

[ Ishak bin Itam ]




rahsia-13


Rahsia Cakap Bismi 

biar pun seorang atau di sidang
ada perkara mahu dibentang
perkara biar terus terang
tidak di potong atau dibangkang
bila dibicara semua mendengarnya
setiap ayat tertumpu belaka
mudah faham mudah diterima
mudah kerja dibuat laksana
atas tujuan yang tulus hati
semoga orang ambil perduli
ikut kehendak cakap bismi
segala hati jadi mengerti
usah dipakai sebarangan
atas kerja yang jadi larangan
biar benar segala urusan
utamakan erti perjuangan

[ Ishak bin Itam ]




rahsia-12


Rahsia Kacip Pinang 

jika tahu memilih kacip ini
sebagai petua berguna pada diri
boleh dijadikan pemurah rezeki
ramai orang datang membeli
menghindar khianat dek serapah dan jampi
menjaga kampung dan halaman sendiri
jangan sampai merosak hati
takut nanti Allah benci
pilihlah kacip mengikut syarat diberi
itu lah petua dari guru terperi

[ Ishak bin Itam ]




rahsia-11


Rahsia Lam Jalala

petua isyarat orang dulu-dulu
sebagai amalan bertemu seteru
melangkah keluar dengan isyarat
semoga di bekal dengan berkat
hindar gemuruh datang berani
apa ketemu tak risau di hati
cuma pesan tok guru ada pantang
usah dibawa keluar berdagang
orang tak hampir putus rezeki
tampak garang takut nak membeli
pakailah akan ia ketika perlu
ke medan perang hadapi seteru
selesai tugas hendaklah di tawar
semoga hati tak menjadi samar
air wuduk sucikan diri
bersihlah roh bersihlah hati

[ Ishak bin Hitam ]




rahsia-10


Rahsia Besi Berteduh

asal kejadian tetap makluk
di muka bumi tempat duduk
tersembunyi tersorok sukar ketemu
dicari dibentuk apa yang perlu
hormat menghormati kerja si insan
diberi tugas tadbir bumi sekelian
biar pun ia besi yang cuma kaku
tetap ia berzikir pada tuhan yang satu
teduhkan akan ia ketika terkelih
tanda hormat tanda kasih
itulah budi bicara kita
seluruh bangsanya takkan derhaka
atas amalan yang mudah-mudah
semoga kita tak dapat parah
kerana besi akan terasa malu
pada kita yang sedia membantu

[ Pak Mael Titi Baru ]




rahsia-9


Rahsia Huruf Wau

nasihat pada yang kerap merantau
jangan mudah mencari ranjau
ikhlas keluar mencari rezeki
untuk di bawa habuan anak bini
jangan ambil tak hirau hal di rumah
takut ada yang tidak amanah
gusar bini tak reti setia
keluar mencari poya-poya
ambil lah huruf dijadikan kunci
hilang nafsu hilang mangli
tapi jangan dibuat lupa
bebelum habis nafas harus di buka
jangan sampai berlaku kejam
hanti direjam ke neraka jahanam

[ Harun bin Long ditahkik oleh Ishak bin Itam ]




rahsia-8


Rahsia Tiang Seri

kukuh rumah kerana tiang
tegak berdiri untuk ditumpang
seawal dinaikan sebagai isyarat
satu tiang lurus di ibarat
tiang seri nama diberi
di tengah laman yang lain iringi
sebagai tanda yang paling perkasa
tadbir alam seluruh buana
adat melayu mengikut rukun
usah ditinggalkan wajar ditekun
ditemukan kepala si anak jantan
semoga si anak punya kekuatan
perintah dan tadbir mudah berkira
membawa amanah kepala kuasa

[ Pak Mael Titi Baru ]